Monday 1 October 2012

Nabil & Jozan Menyerlah, Boboi Tak Menjadi + Pic.

Pementasan Lawak Ke Der pada tahun lalu mendapat sambutan cukup memberangsangkan. Malah, ramai berasa kecewa kerana tidak berpeluang mendapatkan tiket. Atas faktor itu, Tall Order Productions Sdn Bhd mempersembahkan sekali lagi pementasan Lawak Ke Der untuk tontonan umum.

Jadi, sudahkah anda mendapatkan tiket? Kalau belum, baik bertindak bertindak segera kerana tiket laris bagaikan pisang goreng panas. Hanya tinggal sedikit sahaja.

Baiklah, menghiburkan atau tidak Lawak Ke Der musim kedua ini? Pasti soalan yang bermain di fikiran anda bukan? GUA tidak mahu buat perbandingan dengan musim pertama kerana mereka bukan berikan lawak yang sama. Sebaliknya idea baru.

Secara peribadi, GUA menganggap penampilan Nabil paling menyerlah berbanding Jozan, Boboi dan Harith Iskander. Awal-awal lagi Nabil telah memecah tawa penonton dengan kisah seluar ketat dan seluar harem. Tambah gamat apabila Nabil menyanyi dan menari Lawak Ker Der Style yang diadaptasi daripada lagu Korea popular Oppa Gangnam Style. Begitu juga dengan gabungannya bersama Boboi, watak pramugari yang dilakonkan mendominasi penampilan Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik. Nabil membuktikan dia masih ‘kaya’ dengan idea lucu. Bukan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Bagaimanapun, GUA agak kecewa dengan persembahan Boboi. Afdlin dan Harun gagal membuatkan GUA ‘pecah perut’. Malah, ada lawak yang dibuat terasa bosan. Mungkinkah mereka kekurangan idea kerana sibuk dengan komitmen lain? Paling penting, Afdlin sempat ‘memerli’ tentang isu perceraian yang dikaitkan dengan filem arahannya, Untuk Tiga Hari. Babak itu berlaku ketika pengumuman dibuat di dalam pesawat yang mahu berlepas ke Korea.

Dalam pusingan kedua, Boboi muncul dengan persembahan kaunseling hantu. Apa yang boleh GUA katakan, ia membosankan. GUA perhatikan ramai juga penonton yang kaku tidak berperasaan. Hanya ada dua kemungkinan. Satu, persembahan Boboi memang tidak kelakar atau satu lagi sebab mungkin kerana penonton sudah mula hilang konsentrasi kerana persembahan pada malam pertama itu terlalu meleret sehingga ke tiga jam.

Sementara itu, usaha kumpulan Jozan juga nyata tidak mengecewakan. Keserasian duo ini tidak boleh disangkal. Masing-masing bagaikan dapat membaca pemikiran pasangan. Walaupun GUA ketawa berdekah-dekah, GUA agak kurang berkenan dengan penampilan bertudung mereka. Rasanya lebih baik pakai rambut palsu atau muncul dengan tema yang tidak memerlukan watak wanita. Entahlah!

Satu kelebihan Jozan berbanding Boboi adalah sketsa yang seratus peratus berbeza daripada persembahan sebelumnya. Idea segar yang dipersembahkan Jozan nyata cukup memikat. Bukan mudah untuk membawakan pelbagai watak dalam satu-satu persembahan dan mereka berjaya menggalas tanggungjawab tersebut dengan cemerlang.

Mungkin mereka berikan apa yang penonton mahukan. Masing-masing punya pendapat sendiri.
Tidak ketinggalan Harith Iskander yang muncul dengan 'stand-up comedy'. Pelawak gred A ini muncul dengan kisah-kisah biasa yang dilalui oleh rakyat Malaysia. Walaupun temanya mudah, namun Harith berjaya menghiburkan penonton. Satu keistimewaan Harith ialah, dia bijak bermain dengan ekspresi wajah dan tahu di mana klimak penceritaannya!

Secara keseluruhan, GUA menganggap Lawak Ke Der musim kedua ini menghiburkan. Namun, adalah lebih baik masa persembahannya dipendekkan sedikit kerana tempoh tiga jam itu boleh membuatkan konsentrasi penonton terganggu. Lebih-lebih lagi jika mereka menonton pementasan pada hari bekerja. Pabila jam menginjak ke 11.30 malam, pasti mereka sudah mula rasa gelisah kerana mula teringat esok pagi-pagi sudah harus ke pejabat.

No comments:

Post a Comment