Thursday 27 September 2012

PIC Nd Lala & Shila Hamzah > Sudah Popular Di Shanghai

Hanya dalam masa seminggu, juara pertandingan nyanyian Asian Wave 2012, Shila Amzah sudah pun mula popular di Shanghai, China. Menurut Shila yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada petang Rabu, dia tidak sangka dan terkejut apabila ada warga tempatan yang menegurnya ketika berjalan-jalan di kota yang mempunyai kepadatan penduduk tertinggi itu.


“Tak sangka ada yang mengenali saya. Rupa-rupanya mereka kenal saya kerana imej bertudung. Itu yang membezakan saya dengan peserta-peserta lain. Malah, saya juga dimaklumkan selepas meraih kemenangan itu, ramai yang membuat carian tentang saya di laman YouTube untuk melihat persembahan saya yang lain-lain.

"Tak sangka mereka di sana boleh menerima saya dengan baik. Sedangkan mereka sudah ada calon kegemaran. Sepanjang tempoh berada di sana, saya mendapat layanan cukup baik. Saya rasa terharu dan gembira dan diharapkan kemenangan ini boleh membuka jalan untuk menyinar di peringkat antarabangsa,” ujar Shila berkongsi cerita.

Dalam masa yang sama, penyanyi yang popular dengan lagu "Patah Seribu" ini memberitahu bahawa selepas ini dia akan kerap berulang-alik ke Shanghai bagi mengikuti program yang disusun oleh pihak di sana.

“Selepas ini, saya akan kerap berulang-alik ke Shanghai bagi mengikuti program-program yang telah disusun oleh pihak di sana. Jadi, mungkin ada beberapa undangan yang dijadualkan di sini terpaksa saya tolak. Buat masa ini saya tidak dapat berikan maklumat terperinci kerana belum tandatangani sebarang kontrak. Saya perlukan masa untuk memahami terma dan syarat yang ditetapkan. Satu sidang media rasmi akan diadakan dalam sedikit masa lagi untuk mengumumkan tentang perkara ini,” ujar Shila.

Menjelaskan tentang hadiah kemenangan itu, Shila memberitahu dia tidak membawa pulang wang tunai sebanyak RM5 juta seperti yang digembar-gemburkan. Sebaliknya, jumlah itu adalah dalam bentuk dana yang harus dikongsi bersama naib juara dan pemenang tempat ketiga bagi pembangunan karier sebagai Superstar Asia.

Pada peringkat akhir Asian Wave 2012 itu, Shila berentap dengan 12 penyanyi termasuklah finalis dari China, Thailand, Singapura Korea Selatan. Shila terpaksa melalui lima peringkat penyingkiran sebelum mara ke peringkat akhir. Kekuatan vokalnya menyampaikan lagu "Gemilang", nyanyian asal Jaclyn Victor, "Grenade" (Bruno Mars) dan sebuah lagu Mandarin berjudul "Zheng Fu" (nyanyian Na Ying) berjaya menambat hati juri profesional sekaligus meraih gelaran juara.

Pada peringkat awal pertandingan yang berlangsung dari 31 Ogos hingga 6 September lalu, Shila turut mempersembahkan lagu popular Adele, "Set Fire to the Rain" dan sebuah lagu Mandarin yang dipopularkan oleh Wang Lee Hom berjudul "Forever Love".

No comments:

Post a Comment